MANGSA banjir di PPS Dewan R. Piang Kampung Sinar Budi Baru bersedia untuk pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan cuaca yang mengizinkan setelah kampung mereka di landa banjir semalam. FOTO Nadim Bokhari
MANGSA banjir di PPS Dewan R. Piang Kampung Sinar Budi Baru bersedia untuk pulang ke rumah masing-masing setelah keadaan cuaca yang mengizinkan setelah kampung mereka di landa banjir semalam. FOTO Nadim Bokhari
Mohd Roji Kawi

Kuching: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih dengan hanya lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka sehingga 5 petang ini.

Jumlah mangsa yang masih ditempatkan di PPS menurun kepada 522 mangsa berbanding 858 mangsa pada 8 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya berkata, lima PPS yang masih aktif itu ialah tiga di Kuching dan dua di Samarahan.

"PPS yang masih dibuka di Kuching ialah di Dewan Sinar Budi Baru yang menempatkan seramai 144 mangsa daripada 44 keluarga.

"Dua lagi PPS di Kuching ialah SJKC Chung Hua Sungai Tengah yang menempatkan seramai 223 mangsa daripada 60 keluarga dan Dewan Masyarakat Stapok yang menempatkan seramai 88 mangsa daripada 39 keluarga," katanya, hari ini.

Di Samarahan pula, menurut kenyataan itu, seramai 47 mangsa daripada 20 keluarga masih ditempatkan di Dewan Serbaguna Kampung Entingan dan 20 mangsa daripada 10 keluarga di Balai Raya Kampung Nangka.

"Banjir melanda beberapa kawasan rendah di tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Lundu selepas hujan lebat pada Khamis yang berlarutan hingga pagi Jumaat.

"Ia adalah banjir keempat melanda negeri ini selepas kali pertama berlaku pada 13 Januari lalu, diikuti gelombang kedua pada 30 Januari dan yang ketiga pada 3 Februari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 6:31 PM