BANJIR melanda Kampung Sinar Budi Baru di Taman Desa Wira, Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi
BANJIR melanda Kampung Sinar Budi Baru di Taman Desa Wira, Batu Kawa. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi


Kuching: Jumlah mangsa banjir gelombang keempat di Sarawak meningkat pagi ini apabila seramai 858 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar (PA) Ismail Mahedin berkata, sehingga jam 8 pagi ini daerah Kuching masih mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 455 orang daripada 143 keluarga.

Ia membabitkan seramai 144 mangsa daripada 44 keluarga yang ditempatkan di PPS Dewan Sinar Budi Baru, 223 mangsa daripada 60 keluarga di SJKC Chung Hua Sungai Tengah dan 88 mangsa daripada 39 keluarga di Dewan Masyarakat Stapok.

Sementara itu, di daerah Samarahan, sebanyak tujuh PPS itu buka iaitu di Balai Raya Kampung Sungai Empit yang menempatkan seramai 35 mangsa, Dewan Suarah Kota Samarahan (48 mangsa) dan Dewan Masyarakat Kampung Pengkalan Kuap (160 mangsa).

Empat lagi PPS di Samarahan ialah Surau Kampung Bukit Berangan yang menempatkan seramai enam mangsa, Balai Raya Kampung Merdang Lumut (11 mangsa), Dewan Serbaguna Kampung Entingan (47 mangsa) dan Balai Raya Kampung Nangka (13 mangsa).

Di daerah Lundu pula, seramai 19 mangsa ditempatkan di Balai Raya Kampung Paon, Sematan dan 64 mangsa di Sekolah Kebangsaan Paon Temaga, Sematan.

Banjir mula melanda tiga daerah iaitu Kuching, Samarahan dan Lundu awal pagi semalam susulan hujan lebat berterusan malam kelmarin.

Ia adalah banjir keempat yang berlaku di negeri ini sejak pertengahan Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 10:39 AM