BUNGA kering dari China yang dirampas oleh MAQIS Selangor, Khamis lalu. FOTO Ihsan Maqis
BUNGA kering dari China yang dirampas oleh MAQIS Selangor, Khamis lalu. FOTO Ihsan Maqis
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Sejumlah 870 kilogram (kg) bunga kering dari China yang dibawa masuk tanpa permit import dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Selangor, Khamis lalu.

Pengarah Maqis Selangor Dr Tarmisal Alimin, berkata bunga kering itu dirampas selepas pihaknya menahan sebuah kontena di Pintu Masuk Maqis Pelabuhan Klang Utara, kira-kira 2 petang.

"Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas kontena berkenaan di Tapak Pemeriksaan Gudang B2, terdapat dua jenis bunga kering iaitu Dried Lily Flower dan Dried Flower Tea dibawa masuk tanpa permit import dikeluarkan Maqis.

"Keseluruhan hasil rampasan dianggarkan seberat 700 kg Dried Lily Flower, manakala Dried Flower Tea pula seberat 170 kg dan kesemua dagangan itu bernilai RM26,587.43.

"Bunga kering yang dibawa masuk ini dipercayai untuk pasaran tempatan bagi perusahaan minuman dan makanan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tarmisal berkata, kontena yang membawa dagangan itu juga disita dan kes disiasat mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, Maqis akan sentiasa memastikan ketelitian dan kecekapan bagi setiap pemeriksaan yang dilaksanakan bagi kesemua keluaran pertanian yang diimport ke negara ini.

"Ini bagi memastikan setiap keluaran pertanian yang dibawa masuk ke negara ini tiada perosak dan penyakit serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2020 @ 10:11 AM