GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kawalan keselamatan terhadap keberadaan vaksin Covid-19 di lebih 600 pusat simpanan vaksin di negara ini akan dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, selain itu PDRM dan ATM juga akan membantu proses penghantaran vaksin berkenaan ke pelusuk negara.

Beliau berkata, kawalan ketat berkenaan perlu dilakukan kerana vaksin Covid-19 adalah barang yang sangat bernilai ketika ini.

"Kita akan hantar polis untuk jaga keselamatan vaksin di pusat simpanan, selain percaya polis dan tentera akan turut bantu bagi proses penghantaran vaksin ke seluruh negara.

"Ini kerana, vaksin Covid-19 ketika ini adalah barang yang sangat bernilai," katanya dalam sidang media maya mengenai penyelarasan pasukan petugas khas imunisasi Covid-19, hari ini.

Sementara itu, katanya, orang ramai tidak dibenarkan memilih jenis vaksin untuk diterima mereka ketika Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan.

Sebaliknya beliau berkata, jenis vaksin Covid-19 yang akan disuntik kepada orang ramai akan ditetapkan oleh kerajaan.

"Ia selari dengan dasar kerajaan, iaitu apa-apa vaksin diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) adalah selamat untuk digunakan.

"Saya banyak terima persoalan mengenai perkara ini. Anda tidak dibenarkan untuk memilih jenis vaksin.

"Sebaliknya, orang ramai akan dimaklumkan mengenai tarikh, masa dan tempat bagi temu janji suntikan pelalian ini," katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, Khairy berkata, kerajaan dijangka menandatangani kontrak pemerolehan vaksin Covid-19 daripada Johnson & Johnson (J&J) dari Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat.

Katanya, Malaysia ketika ini dalam proses rundingan untuk membeli vaksin berkenaan.

"Jemaah Menteri sudah buat keputusan berdasarkan syor daripada Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin untuk kita beli vaksin berkenaan, berdasarkan ia vaksin satu dan dua dos.

"Rundingan berkenaan (vaksin daripada J&J) dengan maklumat klinikal setakat ini sangat positif. Dalam masa terdekat, saya difahamkan, Datuk Seri Dr Adham Baba (Menteri Kesihatan) akan menandatangani kontrak untuk memperolehi vaksin daripada J&J.

"Selepas itu, barulah kita boleh hantar (vaksin J&J) kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penilaian," katanya.


  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 5:08 PM