Muhaamad Hafis Nawawi dan Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kebanyakan negeri menunjukkan perkembangan baik apabila merekodkan kadar nilai kebolehjangkitan (Rt) di bawah unjuran 1.1.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pengurangan itu satu perkembangan baik berdasarkan kes harian yang direkodkan.

"Semalam (kelmarin), kes dilaporkan 2,176 kes dengan kadar Rt 0.88 di bawah unjuran 1.1, malah hari ini (semalam) kita mencatatkan 2,720 kes baharu yang kita jangkakan juga berkurangan daripada nilai unjuran 1.1.

"Malah jika dilihat kepada trend kadar Rt bermula 1 Januari hingga 15 Februari lalu juga semakin menurun, ini satu sasaran kita untuk capai kadar Rt di bawah unjuran 0.05," katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.

 Tan Sri Dr Noor Hisham.
Tan Sri Dr Noor Hisham.

Menurutnya, Selangor mencatatkan nilai Rt 0.89 dan Sabah pula kini menunjukkan penurunan iaitu 0.77 manakala Labuan mencapai 0.59.

"Kita sasarkan Sabah dapat mencapai nilai Rt 0.5," katanya.

Beliau berkata, walaupun kes dilihat semakin menurun, namun rakyat diingatkan supaya tidak ambil mudah dan alpa serta pastikan patuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya dapat memutuskan jangkitan.

"Pada masa sama kita harapkan graf penurunan kes mengikuti unjuran di zon merah apabila kita laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tempoh empat minggu disusuli PKP Bersyarat sehingga Mei," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 9:09 PM