Petugas kesihatan menyusun sample ujian calitan COVID-19. FOTO GHAZALI KORI
Petugas kesihatan menyusun sample ujian calitan COVID-19. FOTO GHAZALI KORI
Oleh Ahmad Suhael Adnan


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian terus mencatat trend peningkatan dan semakin menghampiri 1.0, yang mencetus kebimbangan mengenai kemungkinan lonjakan semula kes harian pandemik itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Rt Covid-19 untuk seluruh negara adalah 0.98 semalam, dengan Rt di tiga negeri melebihi purata kebangsaan.

Katanya, Negeri Sembilan mencatat Rt tertinggi semalam dengan 1.06, disusuli Selangor (0.99) dan Sarawak (0.99), selain Labuan mencatat Rt sama dengan purata kebangsaan iaitu 0.98, manakala Terengganu merekodkan Rt terendah dengan 0.62.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham di Facebook hari ini menunjukkan, nilai Rt di seluruh negara mencatat trend peningkatan berterusan sejak hampir dua minggu lalu.

Rt Covid-19 sebelum ini mencatat nilai terendah bulan ini dengan 0.90 pada 12 Jun lalu, namun sejak itu, Rt mula menunjukkan peningkatan sehingga merekodkan 0.98 semalam.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Sementara itu, model unjuran kes harian Covid-19 berdasarkan nilai R pula menunjukkan, jumlah kes harian tidak lagi berada dalam unjuran menurun.

Sebaliknya, model unjuran itu menunjukkan kes harian berisiko kembali meningkat sekiranya Rt terus meningkat akibat pengabaian prosedur operasi standard (SOP).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Jun 2021 @ 1:44 PM