Putrajaya merekodkan penurunan, berbanding Rt negeri lain dan peringkat kebangsaan iaitu 1.02.
Putrajaya merekodkan penurunan, berbanding Rt negeri lain dan peringkat kebangsaan iaitu 1.02.
Oleh Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan penurunan, berbanding Rt negeri lain dan peringkat kebangsaan iaitu 1.02.

Untuk rekod, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya termasuk di bawah pemantauan Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley yang diwujudkan 9 Julai lalu untuk menangani isu berkaitan Covid-19, seperti meningkatkan kadar vaksinasi.

Program berkenaan menampakkan hasilnya dengan penurunan Rt.

Lembah Klang juga sudah berjaya mencapai imuniti kelompok dengan kira-kira 87.8 peratus golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, menerima vaksinasi lengkap sehingga semalam.

Berdasarkan perkongsian oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Putrajaya merekodkan bacaan Rt paling rendah iaitu 0.78 diikuti Negeri Sembilan (0.82), Kuala Lumpur (0.84) dan Selangor 0.97 (berbanding 0.95 kelmarin).

Melaka pula mencatatkan Rt 1.0, diikuti Pahang (1.1) iaitu antara negeri yang di bawah purata Rt kebangsaan selain Labuan merekodkan tiga kes, semalam.

Ketika ini, Labuan mencatatkan peratusan vaksinasi tertinggi negara dengan 92.9 peratus atau seramai 63,663 penduduk dewasanya sudah menerima dos lengkap.

Sementara itu, Kedah dan Terengganu merekodkan Rt 1.03, diikuti Kelantan dan Perak (1.08), Johor (1.09), Pulau Pinang (1.14), Sabah (1.19), Sarawak (1.20) dan Perlis (1.23).

Bacaan Rt kebangsaan kekal 1.02 dalam tempoh tiga hari berturut-turut sebelum dilaporkan menurun kepada 1.01 pada Isnin berbanding 1.03 pada Ahad.

Dalam tempoh dua bulan, jumlah Rt tertinggi yang pernah direkodkan negara ialah 1.16 iaitu pada 28 Julai lalu.

Berdasarkan Model Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR) Unjuran dan Pemerhatian Kes Harian Covid-19 yang dikongsi Dr Noor Hisham, Rt boleh melonjak melebihi 1.2 dengan kes mencecah 24,000 jika berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Mengikut rekod Kementerian Kesihatan (KKM), Rt terendah pernah dicatatkan ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus iaitu jumlah ramai individu boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Contoh, jika nilai Rt 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 12:48 PM