GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19 pada Mei ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dapat dilaksanakan jika rakyat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk duduk di rumah jika tidak mempunyai sebarang urusan.

"Setakat ini masih terlalu awal untuk melihat unjuran kes bagi bulan April dan Mei tetapi kita ada unjuran berkenaan.

"Apa yang penting kita berada di landasan yang betul dan kita harap kepatuhan terhadap SOP, jika boleh semua rakyat Malaysia berada di rumah, dengan kaedah ini kita harap dapat menurunkan graf semula.

"Jangkaan kita ialah mungkin dalam tempoh 12 minggu tetapi kita akan laksanakan dalam dua minggu dahulu dan kita akan lihat perkembangan, jangkaan kita pada Mei ini kita boleh melandaikan kes dan jangkitan dalam negara kita," katanya pada sidang media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes positif yang dicatatkan semalam melebihi unjuran kes iaitu nilai R atau R-Naught, melebihi 1.1.

"Semalam kita mencatatkan peningkatan kes tertinggi, jika mengikut unjuran, jangkaan kita akan mencapai 3,000 kes adalah pada bulan Februari.

"Manakala 5,000 pada April ini dan 8,000 kes pada penghujung Mei dengan menggunakan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), jadi kita mengubah strategi dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri," katanya.

Pihaknya berharap KKM mendapat kerjasama dari semua masyarakat untuk sekali lagi melandaikan graf Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 7:56 PM