GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Ipoh: Seorang warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah bangsal di satu kawasan berlalang di Ampang berhampiran Plaza Tol Ipoh Utara, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Muhamad Shahrizal Aris berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran yang mengorbankan lelaki berusia 71 tahun itu, pada 5.47 petang.

"Kami segera mengarahkan 14 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh bagi kerja memadamkan kebakaran sebaik menerima panggilan.

"Setibanya di lokasi kejadian, kami mendapati bangsal itu terbakar 90 peratus manakala mangsa yang rentung ditemukan di bawah timbunan zink yang terbakar," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, di sini, hari ini.

Beliau berkata, api dapat dikawal dalam masa lima minit dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan forensik masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 9:20 PM