KEADAAN bangsal yang terbakar di mana mayat dua lelaki ditemui. FOTO ihsan bomba
KEADAAN bangsal yang terbakar di mana mayat dua lelaki ditemui. FOTO ihsan bomba
Nurul Amanina Suhaini


Pontian: Dua lelaki dipercayai rentung dalam kebakaran di sebuah bangsal di Kampung Parit Kechil, dekat sini, petang tadi.

Difahamkan, seorang mangsa adalah warga Myanmar manakala seorang lagi belum dapat dikenal pasti identitinya.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Iqbal Raduan berkata, bomba menerima panggilan kecemasan jam 2.35 petang sebelum sebuah jentera bersama lima anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Setibanya di tempat kejadian, didapati sebuah bangsal sementara terbakar kira-kira 90 peratus.

"Kebakaran sudah dipadamkan oleh orang awam sebelum pasukan keluaran operasi sampai ke lokasi.

"Pihak bomba pada mulanya dimaklumkan terdapat seorang mangsa rentung di dalam bangsal," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemui mangsa kedua yang rentung.

Iqbal berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya jam 6.05 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 9:44 PM