PASUKAN penguat kuasa JAS bersama MPK dan PDRM menyerbu premis yang menjadi punca Sungai Aur bertukar biru. FOTO  ihsan JAS
PASUKAN penguat kuasa JAS bersama MPK dan PDRM menyerbu premis yang menjadi punca Sungai Aur bertukar biru. FOTO ihsan JAS
Ruwaida Md Zain


Klang: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor membongkarkan kegiatan haram premis menjalankan proses cucian tong terpakai dipercayai berisi sisa kimia sehingga menyebabkan Sungai Aur bertukar menjadi biru di sini, semalam.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, serbuan bersama penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemukan ratusan tong terpakai di lokasi terbabit.

"Dalam operasi yang berakhir sekitar jam 8 malam tadi menemui beratus-ratus tong terpakai yang bersedia untuk dicuci di satu ruang terbuka di mana aliran air berwarna biru turut ditemui di longkang di luar premis sehingga ke longkang besar berhampiran.

"Siasatan mendapati, kegiatan mencuci tong-tong terpakai berisi sisa kimia yang dikategorikan sebagai buangan terjadual dengan kod SW409 itu dijalankan tanpa sebarang kelulusan JAS.

"Dalam operasi serbuan itu, wakil premis seorang lelaki berumur lewat 40-an turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Aziah berkata, premis dikenakan notis Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 bagi menghentikan pencemaran dan sehingga siasatan lanjut selesai dijalankan.

"Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 34A, Seksyen 34B, Seksyen 25, Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Kompaun keseluruhan bernilai RM500,000 dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Beberapa sampel air berwarna dan sisa buangan terjadual berkaitan kes akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut," katanya.

JAS percaya kes terbabit mempunyai kaitan dengan insiden air Sungai Aur berwarna biru yang menggemparkan penghuni Pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran yang didedahkan oleh NSTP, Disember lalu.

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2022 @ 11:32 AM