BUNGKUSAN air ketum dirampas susulan penahanan lima lelaki dalam serbuan di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam. FOTO ihsan polis.
BUNGKUSAN air ketum dirampas susulan penahanan lima lelaki dalam serbuan di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru, semalam. FOTO ihsan polis.
Mohd Sabran Md Sani


LIMA lelaki ditahan bersama daun dan air ketum bernilai RM3,100 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, suspek berusia 26 hingga 52 tahun itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Johor Bahru Selatan (JBS) pada 4.30 petang.

“Berdasarkan maklumat dan risikan, anggota BSJN melakukan serbuan ke rumah berkenaan dan mendapati terdapat lima lelaki di ruang tamu.

“Pemeriksaan di seluruh rumah menemui daun dan air ketum, selain merampas pelbagai barangan mempunyai kaitan dengan kes itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara barang ditemui termasuk 150 liter air ketum, 26 kilogram daun ketun, 10 botol ubat batuk serta satu bekas tong berwarna oren.

Menurutnya, turut dirampas tong dan dapur gas, periuk besar, bekas periuk tahan karat, sudip kayu panjang, jug plastik, besen plastik, penapis kain dan besi serta alat penimbang.

“Tangkapan dibuat terhadap semua suspek atas kesalahan memiliki daun ketum dan air ketum.

“Siasatan mendapati, salah seorang suspek mengaku terbabit menjual air ketum dan semua bahan disyaki air dan daun ketum itu adalah miliknya.

“Bekalan daun ketum diperoleh dari seorang lelaki tempatan dikenali ‘Lan’ dari Kedah dan suspek mengaku merebus dan membungkus air ketum di rumah itu sebelum dijual pada harga RM5 seliter,” katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati ubat batuk dirampas itu dibeli dari farmasi di sekitar Johor Bahru dan dicampurkan ke dalam air ketum mengikut permintaan pelanggan.

Menurutnya, kes daun ketum disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 10:44 PM