Mohd Roji Kawi

Kuching: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah di negeri ini, semakin meningkat.

Sehingga 8 pagi hari ini, 985 mangsa daripada 321 keluarga ditempatkan di 18 PPS di Tatau, Bintulu, Samarahan, Simunjan dan Serian.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin berkata, jumlah itu bertambah mendadak berbanding 577 orang pada 6 petang semalam.

Katanya, banjir gelombang ketiga menyaksikan Serian mencatat jumlah tertinggi dengan 710 mangsa daripada 233 keluarga, yang ditempatkan di 11 PPS.

MANGSA banjir di Sarawak yang ditempatkan di PPS. FOTO Ihsan JPBM.
MANGSA banjir di Sarawak yang ditempatkan di PPS. FOTO Ihsan JPBM.

"Di Simunjan, seramai 229 mangsa daripada 76 keluarga ditempatkan di empat PPS manakala di Samarahan, seramai 38 mangsa daripada 10 keluarga ditempatkan di dua PPS.

"Banjir turut berlaku di kawasan utara Sarawak apabila lapan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di Dewan Sukan Tatau di Bintulu," katanya.

Hujan lebat yang melanda sejak beberapa hari lalu diramalkan berterusan hari ini dan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 9:07 AM