SAMY Murat membersihkan rumahnya di Kampung Betong Kanowit di Serian yang dilanda banjir ketiga sejak Rabu lalu. FOTO Mohd Roji Kawi
SAMY Murat membersihkan rumahnya di Kampung Betong Kanowit di Serian yang dilanda banjir ketiga sejak Rabu lalu. FOTO Mohd Roji Kawi
Mohd Roji Kawi

Kuching: Penduduk Kampung Betong Kanowit di Serian dekat sini, trauma selepas tiga kali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam tempoh 25 hari akibat banjir.

Malah mereka resah setiap kali hujan lebat ketika air pasang menyebabkan berlaku limpahan Sungai Samarahan.

Penduduk, Samy Murat, 40, berkata kali pertama rumahnya dilanda banjir tahun ini pada 12 Januari lalu menyebabkan keluarganya terpaksa berpindah ke PPS di Balai Raya Kampung Betong Kanowit selama seminggu.

"Selepas lebih seminggu rumah dibersihkan, pada 30 Januari kediaman kami sekali lagi dilanda banjir dan memaksa kami tinggal di PPS lagi.

"Selepas banjir kedua itu surut dalam tempoh tiga hari, kami mengemas semula rumah namun tidak sampai dua hari, banjir datang lagi dan memaksa kami berpindah untuk kali ketiga," katanya ketika ditemui hari ini.

Samy berkata, banjir kali ini cukup mencabar baginya kerana tiga kali berlaku dalam tempoh kurang sebulan.

"Penat membersihkan rumah selepas banjir pertama belum hilang, datang pula banjir kedua dan selepas itu banjir yang ketiga.

"Memang pernah banjir yang lebih besar melanda pada 2015, tetapi ia hanya berlaku sekali, bukan berulang seperti yang berlaku sekarang," katanya sambil memaklumkan sudah banyak kerugian dialaminya akibat dilanda bencana alam itu.

Banjir gelombang ketiga yang melanda empat daerah di Sarawak sejak Rabu lalu menyebabkan 1,056 mangsa dari 340 keluarga ditempatkan di PPS sehingga jam 5 petang ini.

Sebanyak 18 PPS dibuka ketika ini iaitu di Tatau, Simunjan, Samarahan san Serian.

Serian merekodkan jumlah tertinggi dengan 766 mangsa daripada 248 keluarga, Simunjan pula seramai 230 mangsa daripada 77 keluarga, di Samarahan, seramai 51 mangsa daripada 13 keluarga manakala di Tatau seramai lapan orang daripada dua keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 7:33 PM