ANGGOTA Bomba membersihkan kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Ulu Segan, Sebauh. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA Bomba membersihkan kesan banjir di Sekolah Kebangsaan Ulu Segan, Sebauh. FOTO ihsan Bomba
Mohd Roji Kawi


HANYA satu pusat pemindahan sementara (PPS)yang masih dibuka, hari ini, menunjukkan keadaan banjir di Sarawak kini hampir pulih sepenuhnya.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Mejar (PA) Ismail Mahedin, berkata sehingga 8 pagi tadi, hanya PPS di Dewan Suarah Mukah yang masih dibuka, menempatkan 14 mangsa daripada empat keluarga.

Beliau berkata, PPS di Dewan Sukan Tatau, Bintulu pula ditutup 11.30 pagi semalam selepas semua 59 mangsa daripada 17 keluarga dibenarkan balik ke rumah masing-masing.

"Bagaimanapun, lima kawasan di daerah Beluru dalam bahagian Miri masih mengalami banjir termenung dengan ketinggian air antara 0.5 hingga satu meter," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, sembilan sekolah di daerah Dalat, Mukah, Baram dan Selangau pula masih belum beroperasi dan 532 murid terus bercuti.

"Banjir dijangka akan pulih sepenuhnya berikutan keadaan cuaca yang baik sejak beberapa hari lalu," katanya.

Secara keseluruhannya, banjir yang melanda negeri ini sejak Januari lalu memaksa 6,974 mangsa dari 1,989 keluarga di tempatkan di 46 PPS.

Sebanyak 10 bahagian negeri ini dilanda bencana itu iaitu Kuching, Serian, Kota Samarahan, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 9:49 AM