Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah liputan rangkaian internet khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan rakyat terutama pelajar mendapat perkhidmatan lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya sedia maklum dengan kesulitan dihadapi pelajar sehingga memberi kesukaran untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan ketika ini.

Katanya, terdapat kira-kira 1,000 menara telekomunikasi di Terengganu, namun banyak perlu dinaik taraf kerana menara sedia ada ketika ini hanya mampu menampung perkhidmatan 2G dan 3G.

"Mengenai liputan rangkaian internet di kawasan kampung, ia diuruskan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mereka kini sedang menaik taraf liputan daripada 2G dan 3G kepada 4G.

Ariffin (tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai pembukaan pusat internet bagi mengatasi masalah pelajar ikuti PdRM di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR
Ariffin (tengah) ketika mengadakan sidang media mengenai pembukaan pusat internet bagi mengatasi masalah pelajar ikuti PdRM di Wisma Darul Iman, hari ini. FOTO BAHAROM BAKAR

"Banyak lokasi sedang diuruskan SKMM termasuk membangunkan menara baru dengan rangkaian 4G, namun kita ada kekangan kos untuk diselesaikan dalam masa terdekat.

"Seperti masalah dihadapi penduduk di Kampung Payong, Setiu dan beberapa kawasan luar bandar lain, kita memikirkan beberapa alternatif lain untuk menangani isu ini dalam jangka masa pendek," katanya.

Beliau berkata, pihaknya berhasrat menyediakan Pusat Internet Akses Rakyat (Pintar) sementara di masjid dan akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Kita sebenarnya ada 38 Pintar di 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) namun ditutup sementara kerana pandemik Covid-19.

"Jadi, buat permulaan kita akan menggunakan lima masjid di setiap DUN bagi membantu pelajar mendapat capaian internet yang lebih baik supaya dapat belajar dalam keadaan selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 4:25 PM