Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar kisah pelajar dan penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa keluar jauh daripada kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur malam tadi berkata, hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang dirancang untuk kawasan itu bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti sekali gus memperbaiki taraf kehidupan mereka.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 185 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan

Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) akan mula dibina meliputi semua bahagian di Sarawak.

"Daripada jumlah itu, tujuh menara baharu dirancang untuk dibina di Pakan di mana kesemua menara itu dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.

"Inisiatif peluasan liputan komunikasi merupakan usaha berterusan oleh SKMM sejak dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) mula diwujudkan pada 2003," katanya.

Tambahnya, sehingga Mei 2020, SKMM dengan kerjasama syarikat telekomunikasi sudah mendirikan sejumlah 553 menara telekomunikasi selain menaik taraf sejumlah 1,064 menara telekomunikasi kepada rangkaian 3G dan 4G di Sarawak.

"SKMM sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

"Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman.

"Antara kaedah alternatif yang diguna pakai bagi mengatasinya ialah penggunaan rangkaian satelit dan bekalan janakuasa diesel yang menyebabkan liputan tidak stabil," katanya.

SKMM komited dengan misinya untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang menyeluruh kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang digital di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Jun 2020 @ 11:54 PM