GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak pantas menyelesaikan isu capaian Internet yang dihadapi penduduk di seluruh negara.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM memaklumkan, hasil siasatan kesukaran pelajar Orang Asli untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan capaian Internet lemah mendapati kedudukan rumah pengadu di Kampung Sungai Belankan terletak jauh terpencil di penghujung kampung.

"Satu ujian liputan dijalankan pada akhir Februari lalu dan didapati kualiti liputan selular di rumah pengadu adalah tidak memuaskan.

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, satu menara komunikasi terletak berhampiran kawasan rumah pengadu akan dinaik taraf kepada 4G di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang bakal bermula pada suku kedua 2021.

"Selain itu, hasil siasatan kami mengenai masalah kesukaran sekumpulan pelajar Orang Asli di Kampung Orang Asli Lakai Jelebu untuk mengikuti PdPR akibat ketiadaan capaian Internet mendapati

kawasan berkenaan tidak mempunyai capaian Internet 4G," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu perjumpaan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) daerah Jelebu turut diadakan dengan pihak pengadu.

"Penggunaan teknologi VSAT (Very Small Aperture Terminal) akan dilaksanakan dan dijangka siap pada hujung tahun ini dan inisiatif ini akan dapat memberi manfaat capaian internet di kawasan aduan kelak.

"Malah, kita juga berjaya menyelesaikan masalah capaian internet di Projek Perumahan Rakyat Melana Indah, Tampoi.

"Sebagai penyelesaian jangka pendek, usaha untuk memperbaiki pengoptimuman kekuatan isyarat akan dilakukan dan dijangka selesai dalam suku pertama tahun ini.

"Selain itu, bagi penyelesaian jangka panjang pula, syarikat penyedia perkhidmatan di kawasan berkenaan akan menambah jalur spektrum 4G bagi meningkatkan capaian Internet di kawasan aduan," katanya.

Jabatan itu turut melakukan siasatan berhubung laporan mengenai kesukaran tiga beradik untuk mengikuti sesi PdPR kerana capaian Internet lemah di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat Pontian, Johor.

"Sebagai penyelesaian jangka pendek, Celcom dan U Mobile melakukan kerja penambahbaikan pencawang pada 24 Februari lalu bagi meningkatkan kualiti liputan 4G di kawasan berkenaan.

"Kerja penambahbaikan berkenaan dijangka siap pada minggu ketiga Mac ini.

"Untuk penyelesaian jangka panjang pula, satu menara baharu akan dibina di bawah pelan JENDELA dan kerja pembinaan menara akan bermula pada hujung tahun ini," katanya.

Katanya, SKMM akan terus menjalankan pemantauan terhadap tindakan yang diambil dan sekiranya perlu mengambil langkah susulan supaya masalah capaian internet di seluruh negara dapat ditangani dengan menyeluruh sekaligus membolehkan ia dinikmati semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 12:27 PM