FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Malaysia akan menerima secara pukal 14 juta dos CoronaVac, vaksin Covid-19 daripada pembekal Sinovac Lifesciences Co Ltd bermula Mac ini.

Ia akan diproses 'fill and finish' secara berperingkat oleh Pharmaniaga Berhad bagi Program Vaksinasi Negara dan diedarkan secara percuma.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Bhd (Pharmaniaga) Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, bagi permulaan kira-kira sejuta dos akan tersedia kepada rakyat Malaysia dan selepas itu setiap bulan berikutnya sebanyak dua juta dos akan diberikan sehingga Oktober 2021.

Katanya, rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana formula vaksin terbabit terbukti selamat melalui ujian klinikal dan tiada signifikan perbezaan daripada vaksin sedia ada.

"Kita sudah hantar permohonan untuk kebenaran mendapatkan vaksin bagi tujuan kecemasan dan kita jangkakan awal April 2021 vaksin ini sedia untuk dibekalkan di Malaysia.

"Malah, di Indonesia dan Turki, vaksin ini sudah diluluskan dan dicuba oleh Presidennya, Joko Widodo dan Recep Tayyip Erdogan.

"Selain Malaysia, Singapura dan Filipina juga akan mendapatkan vaksin Sinovac Covid-19 dari China," katanya pada sidang media Pharmaniaga secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pusat Penyelidikan Pharmaniaga Berhad Dr Badarulhisam Abdul Rahman, Pakar Vaksin Dr Ajit Pal Singh Raina dan Ketua Penjagaan Pelanggannya Norhana Nawawi Suri.

Bagi orang ramai yang masih tertanya dengan status halal vaksin ini, Zulkarnain berkata, pihaknya sudah pun melihat dan meneliti formula serta bahan vaksin Sinovac yang diberi.

"Vaksin dari China ini halal yang mana ia juga menerima pengiktirafan halal daripada Majlis Ulama Indonesia," katanya.

Selain itu, ditanya adakah Pharmaniaga akan menjual vaksin terbabit kepada syarikat multinasional (MNC), Zulkarnain berkata, pihaknya sedang berbincang dengan kerajaan.

"Kerajaan juga sudah meminta kita membekalkan vaksin ini kepada MNC untuk diberi kepada pekerja asing mereka.

"Memang akan ada peruntukkan vaksin bagi pekerja asing dan mengenai harga ia masih dibincangkan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Pharmaniaga sudah bersiap sedia untuk menerima 14 juta vaksin Sinovac Covid-19 dari segi logistik dan tempat penyimpanan.

"Pharmaniaga mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam menguruskan pengedaran vaksin dan mempunyai infrastruktur yang mapan untuk menampung keperluan ini.

"Kami yakin akan dapat memproses serta menyediakan vaksin untuk diedarkan ke semua hospital, klinik dan kemudahan kesihatan lain yang dimiliki kerajaan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 6:06 PM