GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), anak syarikat milik penuh Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) dijangka membekalkan 8.2 juta dos vaksin Sinovac kepada kerajaan menjelang akhir Jun depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, manakala, 10.4 juta dos vaksin lagi (vaksin siap) diimport dari China iaitu 1.4 juta yang sudah diterima setakat ini, dan 9 juta lagi pada Jun, Julai dan Ogos depan dengan purata 3 juta setiap bulan).

Menurut Ismail, bekalan vaksin sedia ada mencukupi dan Pharmaniaga mampu membantu kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi.

"Tak timbul isu kekurangan vaksin. Ini kerana Pharmaniaga sudah menandatangani perjanjian untuk bekalkan 12 juta dos vaksin (Sinovac) kepada rakyat Malaysia.

"Kilangnya mampu membotolkan 500,000 dos vaksin setiap minggu jadi, 2 juta botol tersedia dalam sebulan.

"Setakat ini, kilang (Pharmaniaga)sudah siap membotolkan 1.8 juta dos vaksin dan akhir Jun nanti,2 juta dos lagi tersedia menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 3.8 juta boleh dibekalkan kepada kerajaan," katanya pada sidang media secara maya selepas mengadakan lawatan kerja ke kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga, hari ini.

Lawatan itu bertujuan mengetahui perkembangan terkini dan proses pengilangan, isian dan sempurnakan (fill & finish) vaksin Covid-19 Sinovac.

Menurut Ismail Sabri, beliau berpuas hati dengan persediaan dan perkembangan yang ditunjukkan Pharmaniaga dalam penyediaan vaksin Sinovac.

"Saya berbangga buat kali pertamanya negara kita dapat menghasilkan dan mengilangkan vaksin untuk manusia dengan kepakaran serta kemahiran bakat anak tempatan oleh Pharmaniaga yang juga anak syarikat Boustead dan Lembaga Angkatan Tentera (LTAT).

"Untuk makluman, Pharmaniaga mempunyai lebih 300 saintis dalam kalangan ahli farmakologi, ahli farmasi, ahli kimia, ahli formulasi, penyelidik dan jurutera dalam bidang pengilangan serta teknologi maklumat" katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, Pharmaniaga hanya membekalkan vaksin Sinovac dan menjadi satu-satunya syarikat pembekal (vaksin Sinovac) di negara ini.

"Sinovac tidak melantik syarikat lain membekalkan vaksin itu di negara ini.

"Kami satu-satunya pembekal dan sebarang urusan berkenaan vaksin itu mestilah melalui Pharmaniaga.

"Jika timbul dakwaan mengatakan ada pembekal lain maka itu tidak benar dan kita amat mengutamakan keselamatan orang awam," katanya.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 3:03 PM