Foto hiasan Reuters
Foto hiasan Reuters

Kuala Lumpur: Pharmaniaga Bhd meningkatkan usaha memastikan bekalan vaksin Covid-19 Sinovac mencukupi untuk kanak-kanak dan remaja, selain dos penggalak tambahan untuk golongan dewasa di hospital dan klinik swasta terpilih di seluruh negara bagi memenuhi permintaan yang bertambah berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, kes jangkitan virus Covid-19 semakin meningkat dan orang ramai digalakkan melakukan langkah pencegahan dengan mengambil vaksin untuk kanak-kanak dan remaja berumur lima hingga 17 tahun, serta dos penggalak tambahan untuk golongan dewasa yang berumur 18 tahun ke atas.

"Sehingga Oktober 2022, hanya 49 peratus rakyat Malaysia telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19.

"Bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat perlindungan yang lebih menyeluruh daripada ancaman virus ini, Pharmaniaga bekerjasama dengan MiCare, syarikat penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan terkemuka di Malaysia, bagi membekalkan vaksin Covid-19 Sinovac kepada orang ramai di 50 hospital dan klinik swasta terpilih," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vaksin Sinovac ialah vaksin Covid-19 yang telah nyahaktif dan diberikan melalui suntikan intramuskular. Setiap dos (0.5mL) mengandungi 600 SU (bersamaan dengan 3μg) antigen SARS-CoV-2 yang nyahaktif kepada golongan dewasa dan kanak-kanak.

Vaksin itu dibangunkan menggunakan teknologi penyahaktifan virus dan juga digunakan dalam pelbagai jenis vaksin lain yang biasa digunakan di pasaran, termasuk untuk polio, Hepatitis A dan rabies

Kajian terbaharu oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) Malaysia yang diterbitkan pada Ogos 2022, menunjukkan bahawa walaupun tiga dos vaksin mRNA mempunyai perlindungan yang lebih baik, tetapi dos penggalak vaksin Sinovac Covid-19 memberikan perlindungan yang sama daripada ancaman Covid-19 yang bergejala berbanding dos penggalak vaksin mRNA kepada mereka yang telah menerima vaksinasi primer vaksin Sinovac.

Sementara itu, Zulkarnain menasihati orang ramai untuk sentiasa mengutamakan penjagaan kesihatan diri dengan mencuci tangan dan memakai pelitup muka.

"Walaupun amalan ini adalah secara sukarela, tetapi buat masa ini ia amat digalakkan terutama di kawasan tertutup dan sesak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 12:54 PM