GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengusaha bas ekspres di seluruh negara menyifatkan mereka terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan semalam untuk menangani pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) Mohamad Kaharrudin Salleh berkata, pihaknya bagaimanapun akur dan akan bersama kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Namun kita minta kerajaan melihat semula apa bantuan yang boleh diberikan kepada pengusaha bas ini termasuk morotarium, geran dan pinjaman mudah.

"Pendapatan pengusaha bas adalah bergantung 100 peratus kepada penumpang, jika tidak ada penumpang, tidak ada pendapatan untuk pengusaha," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pengusaha bas kini terpaksa memberikan cuti tanpa gaji kepada pekerja di industri berkenaan.

"Persatuan mempunyai 21 ahli iaitu syarikat yang mengusahakan bas ekspres di Semenanjung Malaysia.

"Tindakan itu perlu diambil bagi memastikan survival pengusaha bas dapat diteruskan namun jika berlarutan, ia tidak mampu bertahan lama," katanya.

Menurutnya, berbekalkan pengalaman ketika permulaan PKP dilaksanakan, pihaknya menjangkakan pengusaha bas tidak mampu bertahan lama.

"Sangat terkesan namun kita tetap akur dan bersama kerajaan dalam memutuskan rantaian Covid-19.

"Berapa lama untuk bertahan, saya jangkakan jika berterusan industri akan 'runtuh'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 2:35 PM