GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 16 kluster baharu penularan Covid-19 hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 13 daripadanya adalah kluster berkaitan tempat kerja manakala tiga lagi adalah kluster komuniti.

Memperincikannya, beliau berkata, Kluster Jalan Trompet adalah kluster tempat kerja di daerah Klang dan Petaling di Selangor membabitkan 74 individu positif hasil saringan dilakukan terhadap 131 individu sehingga hari ini.

"Manakala Kluster Kampung Hala dikesan di daerah Sabak Bernam, Selangor membabitkan 27 individu dikesan positif Covid-19 selepas kes indeks dilaporkan pada 29 Januari lalu hasil saringan terhadap 77 individu," katanya.

Menurutnya, Kluster Jalan Suasa pula dikesan di daerah Johor Bahru, Johor dan 29 individu positif hasil saringan terhadap 214 individu.

"Kluster Jalan Riang juga dikesan di Johor Bahru, Johor yang mana saringan dilakukan di kilang terhadap 270 individu, 13 dilaporkan positif," katanya.

Beliau berkata, Kluster Bintang Utama, juga kluster tempat kerja yang membabitkan daerah Kulai di Johor.

Kes indeks bagi kluster itu, katanya, dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Januari hasil saringan individu bergejala.

"Saringan ke atas kontak rapat seterusnya mendapati seramai 28 lagi individu dikesan positif Covid-19. Sehingga 30 Januari 2021, sejumlah 141 individu disaring, 29 kes positif Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Lombong iaitu kluster tempat kerja yang dikesan daerah Kota Tinggi di Johor membabitkan 11 kes positif hasil saringan terhadap 63 individu.

"Kluster Bukit Batu Grisek pula dikesan daerah Tangkak di Johor. Sejumlah 130 individu disaring, 18 kes dikesan positif Covid-19.

"Manakala, Kluster Bayu Tampoi juga dilaporkan di Johor Bahru, Johor. Sehingga 30 Januari, sejumlah 171 individu disaring, 14 kes disahkan positif Covid-19," katanya.

Katanya, kluster baharu yang lain ialah Kluster Lingkaran Maluri (Cheras, Kuala Lumpur), Kluster Desa Tun (Cheras, Kuala Lumpur) dan Kluster Jalan Labuk (Sandakan, Sabah).

Juga dikesan, katanya, kluster komuniti seperti Kluster Lasah di daerah Kuala Kangsar, Perak yang merujuk lokaliti majlis perkahwinan yang dihadiri kes-kes iaitu di Felda Lasah.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-175,193 dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Januari 2021 hasil saringan individu bergejala. Sejumlah 71 individu disaring, 24 kes positif," katanya.

Beliau berkata, Kluster Tersat pula adalah kluster komuniti yang membabitkan daerah Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, dan Marang di Terengganu.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-165,341 dilaporkan positif Covid-19 pada 19 Januari 2021 hasil saringan saringan individu yang merentas negeri dari Selangor. Sejumlah 21,391 individu disaring, 35 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Beliau berkata, tiga lagi adalah Kluster Tanah Putih (Kuantan, Pahang), Kluster Jalan Ketengah (daerah Kuantan, Temerloh, Jerantut dan Maran di Pahang; daerah Seremban di Negeri Sembilan serta daerah Tanah Merah di Kelantan) serta Kluster Taman Amalina di Raub, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 January 2021 @ 9:21 PM