SYED Abu Hussin Hafiz menyerahkan replika cek kepada Pegawai PPD Larut, Matang dan Selama, Syed Nasir Sayed Mahadi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
SYED Abu Hussin Hafiz menyerahkan replika cek kepada Pegawai PPD Larut, Matang dan Selama, Syed Nasir Sayed Mahadi. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Taiping: Seramai 35,000 nelayan di seluruh negara berpeluang memohon bantuan gajet untuk anak mereka bagi mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Permohonan itu dibuat kepada golongan nelayan kurang berkemampuan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Pengerusi LKIM Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, pihaknya sememangnya menyediakan peruntukan khas untuk membantu pembelajaran anak-anak nelayan.

Menurutnya, peruntukan itu tidak diwar-warkan, namun nelayan yang kurang berkemampuan boleh membuat permohonan di mana-mana Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) atau negeri.

"LKIM amat prihatin dengan situasi semasa ditambah pula setiap pelajar perlu mempunyai gajet untuk PdPR, justeru kita membuka permohonan ini bagi membantu anak-anak nelayan yang kurang berkemampuan.

"Setiap permohonan yang dibuat LKIM akan pertimbangkan bagi memastikan mereka yang layak mendapat bantuan khas ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan replika cek Bantuan Prihatin Rakyat kepada Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Taiping Syed Nasir Sayed Mahadi, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bencana banjir yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan kerosakan harta-benda di komplek pendaratan ikan dan nelayan berjumlah RM2.7 juta.

Menurutnya, pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan pada minggu lalu bagi tujuan bantuan dan proses membaik pulih harta benda LKIM dan ahli yang rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2021 @ 2:16 PM