Muhammad Faiz (tengah) dan Intan Suhaila (depan kanan) bersama penerima dalam Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Johor di Kompleks Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Muhammad Faiz (tengah) dan Intan Suhaila (depan kanan) bersama penerima dalam Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Johor di Kompleks Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru, Pasir Gudang hari ini. FOTO Mary Victoria Dass
Oleh Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil beberapa inisiatif dalam memastikan bekalan ikan cukup sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula November ini hingga Mac depan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara langkah yang akan diambil ialah mendapatkan bekalan ikan dari negeri atau kawasan yang tidak terjejas sekiranya banjir berlaku di negeri-negeri di pantai timur.

Beliau berkata, selain itu LKIM juga sediakan ikan sejuk beku menggunakan teknologi penyejukbekuan 'Individual Quick Freezing' (IQF) iaitu teknologi pemprosesan yang dijamin kesegarannya.

Menurutnya, ikan berkenaan akan dijadikan stok penimbal dan sedia dipasarkan nanti.

"Kita mempunyai bekalan ikan IQF sebanyak 90 tan metrik disimpan dalam bilik sejuk beku milik LKIM.

"Begitu juga rakan dagang kita iaitu pihak swasta yang mana kita mempunyai simpanan 1,600 tan metrik.

"LKIM juga menyediakan peruntukan RM200,000 untuk membeli ikan bagi memastikan bekalan mencukupi bagi tempoh berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas menyempurnakan Majlis Ramah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Negeri Johor di Kompleks Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah LKIM Johor, Intan Suhaila Othman dan Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan, Azli Mohd Aziz.

Pada program itu, LKIM menyampaikan bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan, Insentif dan Bantuan Peralatan Penangkapan Ikan ('touch point') kepada 68 nelayan di bawah PNK Johor Selatan.

Bantuan itu bertujuan meningkatkan pendapatan nelayan B40 yang terbabit dalam aktiviti penangkapan ikan selain menambah kecekapan serta kemahiran nelayan ke arah peningkatan produktiviti perikanan.

Sebanyak RM61,500 diperuntukkan bagi bantuan kepada 51 penerima dalam bentuk satu unit enjin bot 40 kuasa kuda kepada seorang penerima, 50 unit kotak ikan berinsulasi 100 liter (50 penerima) dan 150 unit jaring (50 penerima).

Sebanyak RM15,900 diperuntukkan iaitu satu unit enjin bot 30 kuasa kuda dan 35 unit jaring masing-masing kepada seorang penerima selain RM9,672 diperuntukkan bagi bantuan kepada 16 penerima.

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2023 @ 1:37 PM