Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin HafizvSywd Abdul Fasal (dua kiri) menunjukkan siput sudu yang diusahakan PNK Sungai Tinggi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin HafizvSywd Abdul Fasal (dua kiri) menunjukkan siput sudu yang diusahakan PNK Sungai Tinggi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Taiping: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan RM100,000 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sungai Tinggi, Sungai Tiram, di sini, bagi menjadikan kawasan itu sebagai hab ternakan siput sudu pada tahun hadapan.

Pengerusinya Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, ini berikutan terdapat permintaan tinggi terhadap siput sudu, dan sukar memenuhi permintaan pasaran khususnya di Utara tanah air.

"LKIM memilih PNK Sungai Tinggi berikutan mereka mempunyai pengalaman selama lebih empat tahun dalam penternakan siput sudu ini.

"Mereka mengusahakan dua sangkar di mana terdapat 600 tali dan setiap 100 tali mampu menghasilkan 1.5 tan siput sudu seminggu.

"Berikutan permintaan tinggi dan sering tidak mencukupi, LKIM meluluskan peruntukan itu bagi menambah enam petak sangkar dengan 1,800 tali untuk menternak siput ini," katanya selepas meninjau ternakan siput sudu di Sungai Tiram, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata, LKIM juga memberi khidmat nasihat untuk membantu persatuan nelayan terbabit menceburi bidang agro perikanan.

"Industri ini sebenarnya mampu memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang pekerjaan semasa pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 9:57 PM