Syaherah Mustafa

Kota Bharu: Berpegang pada konsep 'rezeki dikongsi bersama' pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota, di sini, mewujudkan Gerobok Rezeki bagi membantu pelajar asnaf di sekolah berkenaan.

Gerobok Rezeki terbabit diuruskan Unit Kebajikan sekolah dan menyediakan pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak, bihun goreng, mi goreng, roti, buah-buahan dan minum secara percuma buat pelajar memerlukan.

Pengetuanya, Shamsul Bahari Jaafar berkata, ia adalah sebuah almari dipenuhi makanan dan minuman dengan tujuan membantu pelajar di sekolah itu.

"Setiap hari bermula 7 pagi, guru bertugas mula mengisi almari terbabit dengan makanan bukan sahaja dibawa dari rumah oleh guru, malah turut disumbangkan orang luar yang tahu kewujudan Gerobok Rezeki terbabit.

"Alhamdulillah, sejak konsep ini diperkenalkan bermula Ogos tahun lalu, ia mendapat sambutan selain membantu ramai pelajar memerlukan dan disokong Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

"Sebenarnya, semua makanan ini bukan tertumpu untuk anak asnaf sahaja, tetapi membantu pelajar tertinggal wang belanja atau ditimpa apa-apa musibah ketika sesi persekolahan," katanya ketika ditemui di sekolah itu, semalam.

Beliau berkata, anggaran semua makanan diisi di dalam almari terbabit bernilai lebih RM150 sehari, namun ia tidak menjadi beban apabila ramai berkongsi rezeki termasuk ibu bapa pelajar sendiri.

SHAMSUL Bahari (kiri) dan guru Unit Kebajikan sekolah, Norihan menunjukkan antara makanan yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki. FOTO Syaherah Mustafa
SHAMSUL Bahari (kiri) dan guru Unit Kebajikan sekolah, Norihan menunjukkan antara makanan yang disediakan di dalam Gerobok Rezeki. FOTO Syaherah Mustafa

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 September 2020 @ 6:38 PM