GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Jabatan Laut Malaysia (JLM) mengesahkan seorang lagi kakitangan Jabatan Laut Wilayah Selatan positif Covid-19, iaitu kes keempat dilaporkan setakat ini.

JLM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kakitangan Pejabat Laut Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor itu adalah kontak rapat kepada kakitangan VTS Tanjung Piai yang disahkan positif Covid-19 sebelum ini.

"Berdasarkan maklumat daripada Ketua Pejabat Laut PTP, terdapat sembilan kakitangan bertugas dan lapan daripadanya adalah kontak rapat (kes ke-4).

"Semuanya diarah kuarantin kendiri di rumah serta-merta sehingga selesai penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pejabat PTP akan ditutup selama lima hari bermula hari ini sehingga 26 Januari untuk proses sanitasi.

Katanya, operasi akan diambilalih Pejabat Laut Puteri Harbour atau mana-mana Pejabat Laut berhampiran.

Tambahnya, sebarang urusan bayaran permit petroleum dan permohonan pertukaran kru warga asing boleh dibuat di Pejabat Laut Puteri Harbour.

"Bagi urusan permohonan Perakuan Kekompetenan (COC), kad pelaut, Perakuan Pengiktirafan(COR), Perakuan Kecekapan (COP) permohonan boleh dibuat di Pejabat Laut Pasir Gudang atau Mersing.

"Manakala sign in/off dan urusan perjanjian anak kapal bagi kapal berbendara Malaysia, permohonan pelepasan pelabuhan (surat izin belayar) dan lain-lain urusan boleh dibuat secara atas talian," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2021 @ 9:50 PM