GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ruwaida Md Zain


Pelabuhan Klang: Jabatan Laut Malaysia (JLM) sudah melaksanakan penyelarasan keseragaman menjurus aktiviti operasi perkapalan di kawasan pelabuhan berikutan kekeliruan terhadap prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 industri maritim.

JLM dalam satu kenyataan berkata, JLM sentiasa mengemaskini segala tatacara dan SOP bagi memastikan operasi dan perjalanan sistem pengangkutan maritim berkaitan pelaut mahupun industri perkapalan adalah jelas.

"Kesemua kapal yang tiba atau masuk ke kawasan pelabuhan dari India tidak diwajibkan menjalani proses kuarantin 14 hari di laut.

"Deklarasi Kesihatan Maritim kapal-kapal itu akan diperiksa oleh pihak KKM dan diberikan 'free-pratique' sebelum dibenarkan masuk lalu merapat ke dermaga bagi menjalankan operasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, jika kapal terbabit disyaki amat berisiko membawa gejala Covid-19, kapal itu akan diperintahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari di laut.

"Pekerja pelabuhan dan individu darat dibenarkan menaiki kapal terbabit bagi aktiviti kargo, serta diwajibkan memakai pelitup muka dan sarung tangan.

"Sekiranya mereka memerlukan interaksi dengan mana-mana anak kapal di atas kapal atau memasuki mana-mana ruangan kabin, kesemua individu berkenaan perlu penambahan pemakaian pelindung muka dan peralatan perlindungan diri (PPE).

"Bagaimanapun, pemakaian PPE penuh oleh kedua-dua pihak adalah berdasarkan penilaian risiko yang akan ditentukan oleh Lembaga Pelabuhan dengan mengambil kira nasihat JLM dan KKM," katanya.

Selain kepatuhan yang tinggi terhadap SOP Covid-19, keberkesanan operasi di pelabuhan juga menjadi aspek yang penting untuk diambil kira, katanya.

"JLM amat komited dalam menjadi agensi penyelaras bagi mengimbangi faktor keselamatan, kesihatan dan ekonomi dalam sektor perkapalan negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 10:26 AM