Petugas kesihatan ketika melakukan saringan Covid-19 terhadap orang awam. FOTO Aziah Azmee
Petugas kesihatan ketika melakukan saringan Covid-19 terhadap orang awam. FOTO Aziah Azmee
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 16 kluster baharu Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 11 daripadanya membabitkan kluster tempat kerja, manakala lima kluster komuniti.

"Kluster Tapak Bina Jalan Abdul Aziz di Seksyen 19, Petaling Jaya, mengesan 56 individu positif Covid-19 dan Kluster Bestari Rantau di Taman Bestari, Rantau Panjang, Klang sudah menjangkiti 16 orang.

"Kedua-dua kluster ini dikesan hasil saringan bersasar di tapak binaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Sejahtera membabitkan daerah Titiwangsa dikesan hasil saringan bersasar di sebuah pasar raya, di mana 15 kes positif Covid-19 dilaporkan setakat ini.

"Empat kluster membabitkan daerah di Johor iaitu Kluster Tapak Bina Jalan Digital di Kulai, Johor dan Hulu Terengganu (48 kes), Kluster Jalan Niaga di Kota Tinggi dan Kluang (18 kes), Kluster Tampoi Lima di Johor Bahru (26 kes), Kluster Jalan Seroja di Kulai (10 kes).

"Dua kluster pula membabitkan daerah di Sabah iaitu Kluster Jalan KKIP Selatan di Kota Kinabalu (14 kes) dan Kluster Kampung Balibata di Beaufort serta Sandakan (35 kes)," katanya.

Selain itu, katanya, Kluster Sungai Ibor dikesan di Rembau, Negeri Sembilan membabitkan pelajar institusi latihan awam dan setakat ini, seramai 12 individu disahkan positif Covid-19.

Katanya, Kluster Batu Enam dikesan di Batang Padang, Perak membabitkan Kampung Orang Asli dan seramai 12 individu positif, manakala Kluster Persiaran Tasek di Batang Padang dan Kuala Kangsar membabitkan pekerja kilang yang sudah menjangkiti 20 orang.

"Kluster Tapak Bina Bukit Sebukor di Melaka Tengah, Melaka dikesan hasil saringan kontak rapat, dan setakat ini sebanyak 28 kes positif manakala Kluster Jalan Usaha membabitkan Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin (36 kes).

"Manakala Kluster Sawmill Luit membabitkan daerah Maran dan Kuantan, Pahang pula dikesan hasil saringan individu bergejala serta mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Kuala Lumpur. Sebanyak 19 kes dikesan positif setakat ini," katanya.

Menurutnya, kluster terakhir adalah Kluster Bukit Gelugor di Kuantan, Pahang yang dikesan hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri ke Kuala Lumpur.

Katanya, nama kluster itu merujuk kepada lokaliti rumah kediaman kes indeks iaitu di Bukit Gelugor, Beserah, Kuantan dan setakat ini seramai 22 individu positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 8:08 PM