DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti sembilan kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan Pahang, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Taman Tasik Sungai Chua yang dilaporkan di Hulu Langat, Selangor yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah pasar raya dengan 60 kes dikesan positif.

"Kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Kompleks Segamaha yang dilaporkan di Kinabatangan, Sabah, hasil saringan di tempat kerja membabitkan 58 kes dikesan positif dalam kluster ini.

"Kluster ketiga dikenal pasti adalah Kluster Jalan Bukit Bendera yang dilaporkan di Kota Kinabalu, Papar dan Beaufort, Sabah yang membabitkan sebuah institusi awam dengan 20 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Suria yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor, hasil saringan individu bergejala dengan 24 kes dikesan positif.

"Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Nipah yang dilaporkan di Titiwangsa, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan 29 kes dikesan positif.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Era Duta yang dilaporkan di Kepong, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan membabitkan 20 kes positif," katanya.

Beliau berkata, kluster ketujuh dikenal pasti adalah Kluster Pulau Lima yang dilaporkan di Pasir Puteh, Kelantan hasil saringan individu bergejala dengan sembilan kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Kluster kelapan dikenal pasti adalah Kluster Jalan TJyang dilaporkan di Seremban, Negeri Sembilan hasil saringan individu bergejala membabitkan 39 kes positif.

"Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Kafe Genting yang dilaporkan di Genting Highlands, Pahang, hasil saringan individu bergejala dengan 31 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 660 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 361 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

"Dua kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Mesra dan Kluster Samudera menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 299 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 81 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Muda (271 kes), Kluster Tapak Bina Perdana Avenue (145 kes) dan Kluster Tapak Bina Casuarina (76 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 8:21 PM