TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki yang mengalami masalah jantung dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Udara Subang, hari ini. FOTO ihsan TUDM.
TUDM melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki yang mengalami masalah jantung dari Kota Kinabalu ke Pangkalan Udara Subang, hari ini. FOTO ihsan TUDM.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa dua bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang untuk menjalani prosedur pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN), hari ini.

TUDM dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan Mohammad Zayan Hafeez Abdullah yang berusia tiga bulan tiga minggu mengalami masalah jantung 'Mixed Total Anomalous Pulmonary Vanous Drainage (Unobstructed).

Menurut kenyataan itu, Muhammad Zul Aris Muhammad Zainulariffin berusia satu bulan pula menghadapi masalah 'Clinical Down Syndrome' dan sebelum ini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.

"Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat angkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang. Pesawat diterbangkan Leftenan Kolonel Nazlan Shah Zainal dan dibantu pembantu juruterbang, Kapten Noor Mohamad Farhan Mohamad Noor.

"Penerbangan itu turut disertai dua 'Loadmaster', Sarjan Udara Norfadley Saad serta Sarjan Udara Nazmil Hafis Mohamad Nayan bersama dua 'Technician' Koperal Udara Mohd Yazid Sapeei dan Koperal Udara Muhammad Haziq Shaharuzaman.

"Turut mengiringi bayi berkenaan dalam penerbangan itu adalah ibu bayi terbabit serta seorang pegawai perubatan dan dua jururawat," katanya.

Menurut kenyataan itu, pesawat berlepas dari Kota Kinabalu pada 7.04 malam dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 9.41 malam.

Katanya, penerbangan ihsan itu dilaksanakan TUDM bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tertakluk kepada kriteria tertentu terutama nasihat daripada pegawai perubatan.

"Ini memperlihatkan keprihatinan dan komitmen TUDM dalam melunaskan tanggungjawab sosial serta sentiasa siap siaga untuk mengoperasikan aset pada masa diperlukan.

"Seluruh warga TUDM mendoakan supaya kedua-dua bayi berkenaan dapat menerima rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan.

"Semoga usaha dilaksanakan TUDM dengan kerjasama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan dan membantu meringankan beban ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 11:36 PM