GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kompleks Mahkamah Seremban dan Mahkamah Kuala Pilah ditutup sementara berikutan 16 Orang Kena Tahan (OKT) yang dibawa ke mahkamah terbabit disahkan positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, 22 OKT dibawa ke mahkamah terbabit pada 7 dan 8 Januari lalu sebelum 16 daripadanya disahkan positif Covid-19.

"Saya menerima laporan berkenaan 16 OKT terbabit didapati positif Covid-19 di Kompleks Mahkamah Seremban 2. Dimaklumkan, ada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang hadir ke Mahkamah Kuala Pilah untuk pertuduhan kes positif Covid-19.

"Selain itu, saya dimaklumkan terdapat pegawai di mahkamah disahkan positif Covid-19 pada hari ini (Selasa).

"Disebabkan itu, semua Kompleks Mahkamah Seremban dan Kuala Pilah ditutup selama dua minggu untuk tujuan sanitasi," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Veerapan berkata, beliau meminta Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) untuk menyiasat kes berkenaan dan menyertakan maklumat terkini berkenaan isu Covid-19 di kedua-dua kompleks mahkamah terbabit.

Beliau menasihatkan semua rakyat di negeri ini supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan bagi melandaikan penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 January 2021 @ 11:09 PM