FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Seramai 6,200 penerima vaksin tidak hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di lapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Negeri Sembilan sejak April lalu hingga hari ini.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata,

tidak menyemak MySejahtera dan terlepas temu janji antara alasan diberikan susulan tidak hadir menerima suntikan vaksin itu.

"Ada yang mendakwa PPV jauh dari kediaman contohnya mendapat temujanji di PPV Majlis Bandaraya Seremban (MBS) tetapi rumah di luar Seremban.

"Ada juga yang memberi alasan tiada yang menghantarnya ke PPV dan terdapat penerima vaksin tidak hadir dos pertama kerana kontak rapat atau positif Covid-19," katanya pada sidang akhbar selepas melawat PPV di Hospital UCSI, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Veerapan turut mengingatkan orang ramai supaya mengambil serius berhubung suntikan vaksin ini bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Veerapan berkata, terdapat lima hospital swasta dan lapan klinik swasta di negeri ini turut dijadikan sebagai PVV antaranya Hospital UCSI, Mawar Medical Centre, Salam Senawang Specialist Hospital, Hospital KPJ Seremban dan Nilai Medical Centre.

"Manakala lapan klinik swasta yang turut terbabit, Klinik Anda Senawang, Poliklinik Damai Senawang, AMC Klinik, Seremban 2, Klinik Icon, Seremban 2, Klinik Daniel, Seremban 2, Klinik Nisa, Nilai, Klinik Desaria, Nilai dan Klinik Dr.Lee, Nilai," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata, setakat ini terdapat 17 kluster aktif kes Covid-19 iaitu, empat dari kluster tempat kerja, empat kluster berkaitan jangkitan komuniti, lima kluster

dikaitkan dengan perhimpunan keagamaan, dua kluster golongan berisiko dan satu masing-masing merupakan kluster pendidikan dan pusat tahanan.

"Buat masa ini, tiada kluster berkaitan ziarah Aidilfitri dikesan di Negeri Sembilan dan kebanyakan kluster yang ada pada hari ini adalah dari kluster tempat kerja dan tempat ibadat seperti masjid dan gereja," katanya.

Veerapan berkata, sehingga ini seramai 9,853 individu positif Covid-19 terdiri mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun.

"Ia berikutan golongan ini sering terdedah dengan urusan di luar rumah seperti bekerja, belajar dan melakukan aktiviti sosial yang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 3:32 PM