HOSPITAL Tuanku Ja’afar. FOTO Google Maps
HOSPITAL Tuanku Ja’afar. FOTO Google Maps
Mohd Amin Jalil


Seremban: Beberapa wad biasa di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini, ditukar menjadi semi-wad Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampung keperluan pesakit Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, setakat ini, terdapat 10 katil di ICU untuk menempatkan pesakit Covid-19 yang kritikal dan tambahan empat lagi katil di Hospital Tampin, Tampin, dekat sini, sebagai sokongan.

"Bagi memastikan kelancaran proses rawatan pesakit Covid-19 terutamanya yang memerlukan mesin bantuan pernafasan, beberapa wad biasa ditukar fungsinya menjadi semi-ICU.

"Di HTJ memang katil ICU hampir penuh dan bagi menampung peningkatan kes pesakit Covid-19 yang kritikal dan memerlukan mesin bantuan pernafasan, beberapa wad biasa telah ditukar fungsinya kepada semi-ICU," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, setakat ini Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) masih menggunakan mesin bantuan pernafasan yang sedia ada.

Veerapan berkata, JKNNS memohon bantuan mesin bantuan pernafasan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai persediaan jika keadaan memerlukan.

"Sekiranya terdapat keperluan tambahan untuk pesakit Covid-19, berkemungkinan salah sebuah hospital di negeri ini juga akan dibuka sebagai hospital pesakit berkenaan," katanya.

Menurutnya, Hospital Rembau tidak lagi digunakan untuk tujuan rawatan pesakit Covid-19 sebaliknya hanya untuk keperluan pesakit biasa.

"Hospital Rembau dalam keadaan 'defective period' dan terdapat kerja yang perlu dilakukan," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi memutuskan rantaian pandemik berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 5:34 PM