GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


Seremban: Kluster terbaharu Covid-19 dikesan di negeri ini iaitu Kluster Sungai Ibor dikenal pasti membabitkan penuntut Institut Latihan Perindustruan (ILP) Pedas, Rembau.

Ia berdasarkan kedudukan pusat latihan kemahiran itu di Persiaran Pinggiran Pedas, Kampung Sungai Ibor, Pedas, Rembau.

Berdasarkan maklumat dikongsikan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kes indeks bagi kluster terbabit ialah lelaki warga tempatan berusia 20 tahun dilaporkan positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala dan mempunyai sejarah perjalanan rentas negeri dari Johor.

Menurut laporan itu, sehingga kini, sejumlah 138 individu disaring dengan 12 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, sehingga 12 tengah hari, hari ini, terdapat 176 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan ke CPRC Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 10,430 kes di negeri ini.

"Daripada jumlah kumulatif itu, 9,173 kes sembuh dan discaj, 1,238 kes masih menerima rawatan di wad dan 19 kes meninggal dunia.

"Sehingga kini, terdapat penambahan satu kluster baharu dilaporkan ke CPRC JKNNS menjadikan terdapat 31 kluster yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan," katanya malam ini.

Veerapan berkata, terdapat 1,369 kes aktif mengikut definisi Program Pengurangan Risiko Daerah (jumlah kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari terakhir).

Beliau berkata, daripada statistik daerah, terdapat pertambahan sebanyak 93 kes di daerah Seremban; Port Dickson (55 kes), Rembau (15 kes), Jempol (12 kes) dan Jelebu (satu kes).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 11:08 PM