GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil
am@hmetro.com.my


Seremban: Terdapat pertambahan tiga lagi kes baharu Kluster Intan Delima 2 menjadikan keseluruhan 39 kes positif Covid-19 yang membabitkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS), dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Alam Sekitar, Kesihatan, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata tiga kes baharu itu dikesan semalam.

Katanya, kesemua mereka sedang menjalani kuarantin di rumah dan asrama KMNS selain di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kuala Pilah.

"Pertambahan tiga kes ini semalam menjadikan jumlah keseluruhan ialah 39 kes positif setakat ini.

"Individu yang dikesan positif ini ada yang bergejala dan ada yang tidak, bagaimanapun setakat ini tiada yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam laporan media sebelum ini, sebanyak 32 kes positif Covid-19 dilaporkan di KMNS membabitkan kluster baharu iaitu kluster Intan Delima 2 disusuli pertambahan empat kes pada Sabtu.

Veerapan berkata, keadaan kes adalah terkawal, malah pengurusan kolej memberikan kerjasama baik dalam menguruskan pelajar yang dikuarantin termasuk makan minum dan hal ehwal kebajikan pelajar.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) akan terus memantau perkembangan kolej berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.

Ketika ini KMNS di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (TEMCO) yang ditetapkan selama tujuh hari sehingga 8 Disember ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 11:55 AM