ZAIROSSANI (dua kiri) menyampaikan  pam sembur yang boleh digunakan untuk mengawal penyakit jangkitan kulat  luruh daun. Hadir sama, Ahmad Nazlan (berkopiah). FOTO Roselan Ab Malek
ZAIROSSANI (dua kiri) menyampaikan pam sembur yang boleh digunakan untuk mengawal penyakit jangkitan kulat luruh daun. Hadir sama, Ahmad Nazlan (berkopiah). FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia ( LGM) menyediakan peruntukkan awal sebanyak RM10 juta tahun ini untuk mengawal penyakit luruhan daun pokok getah (Pestalotiopsis) yang mengancam pendapatan 450,000 pekebun kecil getah seluruh negara.

Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Zairossani Mohd Nor berkata, LGM akan turun padang untuk melihat sejauh mana impak penyakit ini kepada pekebun kecil dan memperkenalkan langkah untuk mengawalnya.

Katanya pada masa ini, LGM mengenal pasti 18,000 hektar tanaman getah seluruh negara diserang penyakit yang dibawa oleh kulat, termasuk di kawasan pedalaman Ulu Tembeling di Jerantut.

"Dengan ada peruntukan awal sebanyak RM 10 juta ini, diharap kita dapat mengawal sekurangnya 5,000 hektar tanaman getah yang telah terjejas dengan serangan penyakit luruhan daun ini," katanya selepas menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial koperat (CSR) LGM kepada penduduk kampung Gusai, Ulu Tembeling, semalam.

Hadir sama Pengerusi LGM, Datuk Ahmad Nazlan Idris dan Pengarah LGM Wilayah Timur,Mohd Aini Daud.

Dr Zairossani berkata, LGM akan memberi penerangan kepada pekebun kecil tentang penyakit ini dan langkah kawalan dan pencegahan serta racun yang sesuai bagi mengelakkan perebakan penyakit itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 12:00 PM