GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 13 kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Pahang, Putrajaya dan Kelantan, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama adalah Kluster Jalan City dilaporkan di Sepang, Selangor, yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah pusat beli-belah dengan 48 kes dikesan positif.

"Kluster kedua adalah Kluster Jalan Aman yang dilaporkan di Hulu Selangor, Selangor, hasil saringan bersasar di sebuah kilang membabitkan 38 kes dikesan positif.

"Kluster ketiga adalah Kluster Jalan Pulai yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor, membabitkan sebuah pusat perlindungan dengan 42 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Batu Tiga Setengah pula dilaporkan di Batu Pahat, Johor, hasil saringan individu bergejala membabitkan sebuah kilang dengan 19 kes dikesan positif.

Beliau berkata, Kluster Taman Koperasi yang dilaporkan di Kepong, Kuala Lumpur adalah hasil saringan bersasar di sebuah institusi pengajian dengan 15 kes dikesan positif.

"Kluster Kandi Sungai Besi yang dilaporkan di Cheras, Kuala Lumpur dikesan hasil saringan individu bergejala membabitkan sebuah institusi awam dengan 10 kes positif.

"Selain itu, Kluster Ladang Tangkarason yang dilaporkan di Beluran, Sabah, hasil saringan di tempat kerja di ladang kelapa sawit dengan 16 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Kluster kelapan adalah Kluster Bandar Lama yang dilaporkan di Tawau, Sabah, hasil saringan individu bergejala di sebuah pusat pentadbiran awam membabitkan 24 kes positif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Satu KKIP yang dilaporkan di Kota Kinabalu dan Tuaran, Sabah, hasil saringan pra pekerjaan di sebuah gudang dengan 30 kes dikesan positif.

Menurutnya, Kluster Mayang Pasir dilaporkan di Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, membabitkan sebuah kilang dengan 47 kes dikesan positif.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Lebuh Karak yang dilaporkan di Bentong, Pahang, hasil saringan individu bergejala dengan lapan kes dikesan positif.

"Kluster ke-12 dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Presint Tujuh yang dilaporkan di Putrajaya, hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan sembilan kes dikesan positif.

"Kluster terakhir adalah Kluster Tembok Pengkalan Chepa yang dilaporkan di Kota Bharu, Kelantan, hasil saringan kemasukan ke pusat tahanan dengan 76 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 851 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 439 kluster tamat, setakat hari ini.

Menurutnya, lima kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Ikan Emas, Kluster Tapak Bina Awan Lembah, Kluster Tenun Merah, Kluster Sugud dan Kluster Gerbang Pongsu menjadikan jumlah kluster aktif dipantau adalah 412 kluster.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Februari 2021 @ 7:48 PM