KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Johor dan Perak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti sebagai Kluster Pasar Baru yang dilaporkan di Klang dan Kuala Langat, Selangor.

"Kes indeks bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Disember lalu melalui saringan individu bergejala membabitkan 309 kes dikesan positif.

"Kluster kluster kedua dikenal pasti adalah Kluster Bukit Naga yang dilaporkan di Klang, Selangor membabitkan 58 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan media berkaitan Covid-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster baharu dikesan di tapak pembinaan di Kuala Lumpur hari ini iaitu Kluster Tapak Bina Residen yang dilaporkan di tapak binaan di Lembah Pantai dengan 294 kes dikesan positif.

Beliau berkata, kluster keempat dikenal pasti adalah Kluster Tapak Bina Kasih yang dilaporkan di tapak binaan di Kepong, membabitkan 43 kes dikesan positif.

"Kluster kelima dikesan adalah Kluster Tapak Bina Sinar View yang dilaporkan di sebuah tapak bina di Kepong dengan 32 kes dikesan positif.

"Kluster keenam dikenal pasti adalah Kluster Paginatan yang dilaporkan di Ranau, Papar dan Kota Belud, Sabah membabitkan 47 kes positif.

"Satu lagi kluster dikesan adalah Kluster Tampoi Jaya yang dilaporkan di Johor Bahru, Johor dengan tujuh kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Kluster kelapan adalah Kluster Rapat yang dilaporkan di Kinta dan Perak Tengah, Perak membabitkan tujuh kes positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 459 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 253 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

Menurutnya, tiga kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Summer, Kluster Kota Kecil dan Kluster Tenaga, sekali gus menjadikan jumlah kluster aktif dipantau adalah 206 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 52 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini.

"Kluster melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Residen (294 kes), Kluster Pasar Baru (270 kes) dan Kluster Seruling (221 kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 7:26 PM