KAWASAN perumahan di Pekan Donggongon, Kota Kinabalu dinaiki air, semalam selepas hujan lebat sejak kelmarin. FOTO Bernama
KAWASAN perumahan di Pekan Donggongon, Kota Kinabalu dinaiki air, semalam selepas hujan lebat sejak kelmarin. FOTO Bernama
BERNAMA

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyediakan pasukan teknikal 24 jam bagi membaiki sebarang kerosakan kepada bekalan elektrik termasuk menggerakkan set janakuasa bergerak ke lokasi terjejas banjir pada bila-bila masa diperlukan.

Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset SESB Norhizami Abu Hasan berkata, SESB akan mengambil langkah menghentikan bekalan elektrik sementara waktu di lokasi-lokasi yang mengalami banjir bagi mengelakkan arus litar pintas.

"Kediaman yang dinaiki banjir diminta segera berpindah, menutup suis utama kediaman dan menyimpan peralatan elektrik di tempat yang tinggi bagi mengelakkan ditengelami banjir.

"SESB dengan bantuan dan kerjasama agensi akan mengusahakan pengangkutan yang boleh menerusi banjir bagi kawasan yang terputus bekalan untuk memeriksa pepasangan SESB," menurutnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Norhizami berkata, bekalan elektrik akan dihidupkan semula apabila banjir beransur surut ke paras yang selamat dan pepasangan SESB dalam keadaan baik serta selamat untuk dimula tugas.

Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa menggunakan peralatan elektrik jika kawasan kediaman dinaiki air dan jangan menyentuh alat elektrik dengan tangan yang basah dan lembab.

Pengguna yang terputus bekalan elektrik ketika musim banjir boleh menghubungi SESB di talian 15454, 088-5150000, WhatApps 019-8525427 atau FaceBook SESB Careline.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 12:11 PM