GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memberikan rebat bernilai RM7.9 juta kepada lebih setengah juta pengguna berdaftar di Sabah dan Labuan bermula bulan ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir Norhizami Abu Hasan berkata, setiap pengguna diberikan rebat 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran dalam akaun masing-masing.

Katanya, rebat akan diberikan secara berperingkat bermula dengan bil bulan ini bagi membolehkan pengguna menikmati pengurangan bayaran bil bulanan masing-masing.

"Pengguna elektrik yang berdaftar dengan SESB di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan akan menikmati rebat sebanyak 2.5 peratus daripada jumlah wang cagaran tunai mereka yang dikira mengikut kadar prorata.

"Pemulangan rebat berjumlah RM7.9 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik 606,273 pengguna berdaftar secara berperingkat bermula pada Mei 2021.

"Wang cagaran elektrik dikenakan sebagai jaminan jika berlaku kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan selaras dengan Peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, wang cagaran setiap pengguna berdaftar dikira berdasarkan jumlah bil elektrik selama dua bulan dalam tempoh enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan sekali.

Norhizami berkata, wang cagaran perlu ditambah jika berlaku peningkatan penggunaan elektrik berdasarkan bil terkini yang diterima pengguna.

"Bagaimanapun jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 1:49 PM