WARGA asing menaiki bas di Hentian Bas MBKT, hari ini. FOTO Baharom Bakar
WARGA asing menaiki bas di Hentian Bas MBKT, hari ini. FOTO Baharom Bakar
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Ratusan warga asing 'membanjiri' Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.

Tinjauan mendapati warga asing terutama dari Bangladesh yang bekerja di daerah Hulu Terengganu mengunjungi beberapa pasar mini di hadapan Hentian Bas MBKT di Jalan Syed Hussin, di sini, kira-kira jam 10 pagi.

Selain membeli-belah pelbagai barangan keperluan, kedai pengurup wang juga turut menjadi tumpuan warga asing.

Selain kedai mini dan restoran diusahakan warga asing di hadapan Hentian Bas MBKT, kedai runcit yang menjual pelbagai barangan keperluan termasuk perkakas elektrik di Jalan Tok Lam, turut dikunjungi mereka.

Tinjauan mendapati warga asing itu ke bandaraya Kuala Terengganu menaiki bas henti-henti dan menggunakan kenderaan e-hailing serta kereta sapu.

Mereka mengambil kesempatan menyerbu ke kedai runcit untuk membeli pelbagai barangan keperluan sempena cuti Tahun Baharu Cina hari ini.

Pengunjung tempatan, Badrulhisham Salleh, 44, terkejut apabila mendapati hentian bas MBKT dipenuhi dengan warga asing.

"Saya terpaksa berebut dengan warga asing untuk menaiki bas ke bandaraya Kuala Terengganu untuk membeli-belah.

"Mereka ke beberapa kedai runcit dan restoran termasuk pengurup wang di hadapan Hentian Bas MBKT sempena cuti perayaan," katanya.

Suri rumah, Jamariah Abdullah, 42, berkata, warga asing mungkin mengetahui tiada penguatkuasaan dilakukan berikutan cuti.

"Saya pun terkejut apabila seluruh kawasan hentian bas MBKT dan beberapa premis perniagaan dibanjiri warga asing," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri, Azhar Abd Hamid berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di kawasan itu.

Katanya, operasi akan dilakukan secara berkala, terutama kawasan tumpuan warga asing.

"Walaupun kita tidak melakukan operasi di kawasan itu semalam dan hari ini, tetapi pegawai penguat kuasa JIM yang tidak berpakaian seragam dihantar untuk melakukan pemantauan.

"Kita ada menerima maklumat mengenai kawasan itu dibanjiri warga asing dan tindakan susulan akan dilakukan," katanya ketika dihubungi.

Azhar berkata, pihaknya sudah melakukan 102 operasi di seluruh negeri sejak Januari lalu.

"Seramai 1,400 warga asing diperiksa dan 209 sudah dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 2:25 PM