Foto hiasan
Foto hiasan
Baharom Bakar

MAJLIS Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendahului enam pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Terengganu tidak membenarkan kedai gunting beroperasi.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok mengakui, pihaknya terpaksa mengambil tindakan untuk tidak membenarkan kedai gunting beroperasi sebagai langkah pencegahan penularan pandemik Covid-19.

“Walaupun kerajaan negeri belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai operasi kedai gunting tetapi kita mengambil pendekatan mengikut cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah KKM Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan operasi kedai gunting rambut perlu ditangguhkan sementara.

Shahidan berkata, MBKT akan mengekalkan tindakan seperti dilaksanakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dan kedua yang berakhir pada Selasa ini.

Menurutnya, sebagai insentif kepada pengusaha kedai gunting yang akur dengan arahan PKP, MBKT mungkin akan mengecualikan bayaran sewa premis miliknya.

“Kita akan bincang pengecualian bayaran sewa premis pada mesyuarat majlis MBKT, ” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 9:48 AM