PEPERIKSAAN SPM dan SVM ditunda. FOTO NSTP
PEPERIKSAAN SPM dan SVM ditunda. FOTO NSTP
Mohd Amin Jalil

MIMBAR Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) Cawangan Negeri Sembilan akur dengan keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menunda tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) ke tahun hadapan.

Yang Dipertua Mapim negeri Aslam Nawabdin berkata, pihaknya menyifatkan keputusan yang dibuat KPM itu adalah wajar.

Beliau yang juga Setiausaha MAPIM kebangsaan berkata, penundaan tarikh peperiksaan berkenaan ke suku pertama tahun hadapan dilihat tepat untuk kebaikan pelajar kerana pembelajaran mereka agak terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerkaan (PKP) ketika ini.

“KPM juga membuat keputusan yang tepat terhadap penundaan tarikh peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

“Dalam berhadapan dengan wabak Covid-19 ini, kita berperang dengan musuh yang tidak kelihatan dan keputusan baik sebegini harus disokong demi kemaslahatan semua pihak.

“Walaupun keputusan ini dianjakkan sehingga menjangkau setahun, ia adalah keputusan tepat kerana kerajaan mengutamakan keselamatan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas program penyampaian sumbangan barangan keperluan asas kepada penduduk yang terkesan PKP di Taman Dusun Nyior di Seremban hari ini.

Sementara itu, Aslam yakin langkah KPM membatalkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tahun Tiga (PT3) tidak akan menjejaskan kualiti pendidikan murid.

Menurutnya, ia akan memberi lebih keyakinan kepada mereka untuk melangkah dan meneruskan pembelajaran tanpa tekanan.

“Kita juga melihat dengan pembatalan UPSR dan PT3 ini akan mewujudkan senario baharu dalam kaedah pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) guru di mana mereka tidak perlu terburu-buru untuk menghabiskan silibus mereka sebelum peperiksaan berkenaan dilaksanakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 April 2020 @ 4:03 PM