Norzamira Che Noh

LEMBAGA Pelabuhan Klang menyediakan insentif untuk memulihkan kembali sektor logistik dan perkapalan yang terjejas susulan penularan pandemik Covid-19.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, insentif berkenaan diputuskan oleh jemaah LPK menerusi persidangan yang diadakan pada 6 Julai lalu.

"Insentif berkenaan membabitkan pengecualian permit dan yuran dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pergerakan (PKP) sehingga Disember yang dikenakan oleh agensi kerajaan.

"Saya difahamkan, pihak LPK kini sedang berbincang dengan agensi kerajaan berkaitan. LPK juga akan memberi tempoh simpanan percuma tambahan iaitu daripada empat hari kepada enam hari bagi simpanan kargo kontena import dan lima hari kepada tujuh hari untuk eksport," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan di Pelabuhan Klang hari ini.

Beliau berkata, operator terminal juga akan memberikan insentif komersial kepada syarikat perkapalan import dan eksport untuk menggalakkan aktiviti perdagangan; membangunkan sistem digitalisasi bersepadu dan meningkatkan kapasiti infrastruktur.

"LPK juga memberikan insentif kewangan berjumlah RM3.23 juta kepada penyewa tanah, syarikat perkapalan dan operator jeti mulai Mac hingga Disember tahun ini.

"Insentif penangguhan bayaran sewa pajakan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebanyak 30 peratus bagi tempoh enam bulan (Julai hingga Disember) berjumlah RM14 juta yang mana pemajak perlu membayar semula pada tahun hadapan," katanya.

DR Wee Ka Siong (empat dari kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Chong Sin Woon (empat dari kiri) serta pengurus kanan Northport Malaysia Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd ketika lawatan rasmi di Port Klang Free Zone, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar
DR Wee Ka Siong (empat dari kanan) bersama Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang, Datuk Chong Sin Woon (empat dari kiri) serta pengurus kanan Northport Malaysia Bhd, Westports Malaysia Sdn Bhd dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd ketika lawatan rasmi di Port Klang Free Zone, Pulau Indah, Pelabuhan Klang. FOTO Faiz Anuar

Sementara itu, Wee turut melancarkan Sistem Pengesanan Kontena Kawalan Jauh (RPS P-Check System) yang dibangunkan oleh Westports Malaysia bagi menggantikan kerani kapal (Stowage Clerk) yang melakukan pengesahan kontena.

Katanya, dengan adanya sistem berkenaan, masalah dalam pengesahan kontena dapat diselesaikan terutamanya dalam aspek kekurangan tenaga kerja selain pengesahan kontena juga dapat dilakukan dengan lebih pantas.

"Sebelum ini, pemeriksaan sebuah kontena akan mengambil masa 90 saat bagaimanapun dengan RPS, ia boleh diselesaikan dalam tempoh 30 saat," katanya.

Dalam pada itu, Wee berkata, Pelabuhan Klang berpotensi untuk menjadi antara 10 pelabuhan terbesar dunia sekiranya projek pembesaran pelabuhan serta pengendalian kontena ditingkatkan.

"Saya yakin, kita berada dalam arah tuju yang betul dan kerajaan khususnya Kementerian Pengangkutan akan memberi sokongan penuh terhadap projek pembesaran Pelabuhan Barat dan Utara," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Julai 2020 @ 7:55 PM