CHOW (tiga dari kanan) bersama Chua (dua dari kanan) dan Penasihat One Hope Charity&Welfare Datuk Seri R Arunasalam memberi sumbangan kepada penerima.  FOTO Zuhainy Zulkiffli
CHOW (tiga dari kanan) bersama Chua (dua dari kanan) dan Penasihat One Hope Charity&Welfare Datuk Seri R Arunasalam memberi sumbangan kepada penerima. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Saya bersedia memikul tanggungjawab dalam isu ini," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow ketika diminta mengulas mengenai pembelian kereta rasmi baharu.

Chow berkata, dia turut mengambil kira pandangan semua pihak berhubung isu berkenaan yang menimbulkan perbualan hangat.

"Pembeliannya melalui proses pentadbiran yang sewajarnya, namun saya tetap mengambil maklum terhadap semua pandangan walaupun ia (pembelian kereta rasmi) dianggap tidak sesuai pada masa ini.

"Jika ada yang tersinggung, saya memikul tanggungjawab terhadap isu ini dan berjanji akan lebih berhati-hati pada setiap pertimbangan akan datang," katanya ketika ditemui di Majlis Sumbangan Ikhlas Beg Penyayang One Hope Charity di Jalan Arratoon, di sini, hari ini.

Kenyataan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Pulau Pinang baru-baru ini memaklumkan bahawa kereta rasmi baharu Mercedes S560e itu mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang pada 29 November 2019 bagi menggantikan Mercedes S300L yang dibeli pada 2013.

Tarikh pembelian Mercedes S560e adalah pada 31 Disember 2020 dengan kos pembelian sebanyak RM458,122.78, iaitu penjimatan sebanyak RM127,765.22 daripada harga asal.

Tindakan itu mendapat reaksi pelbagai pihak yang menganggap pembelian kereta rasmi baharu pada masa ini tidak sesuai ketika rakyat sedang bergelut dengan kehidupan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu di majlis berkenaan, sebanyak 4,200 set bakul makanan Beg Penyayang One Hope Charity diedarkan kepada 40 kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk diagihkan kepada golongan terjejas akibat Covid-19.

Pengerusi One Hope Charity&Welfare, Chua Sui Hau berkata, sumbangan yang diberi secara berperingkat itu mengandungi makanan asas, persanitasi tangan, pelitup muka, vitamin dan baucer pembelian barang keperluan harian.

"Sumbangan ini menggunakan wang yang disalurkan orang ramai kepada badan kebajikan.

"Selain itu, badan kebajikan ini juga turut menyumbangkan peralatan perubatan dan pakaian perlindungan diri (PPE) kepada hospital dan klinik kerajaan di Pulau Pinang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 1:10 PM