Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Hospital Pulau Pinang (HPP) merancang menggunakan katil dari unit atau wad lain untuk menampung kapasiti pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan intensif di hospital berkenaan.

Ia berikutan penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi merawat pesakit Covid-19 di hospital berkenaan sudah mencapai 100 peratus susulan peningkatan mendadak kes positif di seluruh negara.

Pengarah HPP, Datuk Dr Teo Gim Sian berkata, pihaknya juga sudah bersedia dan membuat persiapan bagi menghadapi gelombang itu dengan memperuntukkan katil yang mencukupi bagi kegunaan pesakit berkenaan.

"Kita amat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana menjadikan Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) yang dijangka beroperasi minggu depan.

"Selain dapat menampung seramai 100 pesakit, dengan pembukaan PKRC itu juga dapat melegakan dan mengurangkan kesesakan pesakit di HPP.

"Kita sudah bekerjasama dengan empat hospital swasta bagi kes pesakit bukan Covid-19 untuk mendapatkan rawatan," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas penyerahan kontena sepanjang 12 meter berharga RM90,000 oleh badan bukan kerajaan (NGO) One Hope Charity and Welfare kepada Jabatan Forensik HPP di sini hari ini.

Kontena yang dijadikan tempat penyimpanan mayat sementara itu Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau. Hadir sama Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP, Datuk Dr Zahari Noor.

Sementara itu, Dr Zahari berkata, kontena itu adalah sumbangan kedua diterima selepas yang pertama disumbangkan oleh pendakwah terkenal Ebit Liew.

Katanya, kontena berkenaan mampu menyimpan sehingga 50 jenazah pada satu-satu masa sebelum dikebumikan.

"Setakat ini, tempat bagi menyimpan mayat di kedua-dua hospital adalah mencukupi.

"Namun, susulan kenaikan kes yang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ini, kita perlu buat persiapan dan persediaan yang rapi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Ogos 2021 @ 4:58 PM
Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor (kanan) bersama Pengarah Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Teo Gim Sian melihat kontena beku sejuk baharu yang disumbang daripada One Hope Charity dan Welfare, bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr Zahari Noor (kanan) bersama Pengarah Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Teo Gim Sian melihat kontena beku sejuk baharu yang disumbang daripada One Hope Charity dan Welfare, bagi menempatkan mayat mangsa Covid-19 di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang. FOTO MIKAIL ONG