Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan segelintir individu yang berdegil mahu bermain air dan berkumpul di lokasi banjir, akhirnya mengundang padah.

Keadaan itu menyebabkan pasukan Balai Polis Rantau Panjang bertindak mengeluarkan 38 saman kesalahan jalan raya dan tujuh kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) terhadap semua individu itu, semalam.

Dalam operasi selama empat jam yang bermula 5.30 petang di sekitar jalan Kampung Banggol Kulim, di sini, masyarakat dilihat leka dan tidak mematuhi SOP ditetapkan.

Malah, tinjauan pemberita bersama pasukan itu mendapati pengunjung berkumpul untuk melihat banjir, tidak kurang juga yang meredah sekadar bersuka ria tanpa menyedari bahaya menanti mereka.

Ketua Balai Polis Rantau Panjang, Asisten Superintendan Mohd Sany Husin, yang mengetuai operasi itu berkata, seramai 17 anggota ditugaskan dalam operasi selain turut dibantu pasukan polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, yang membuat sekatan jalan raya (SJR).

"Kompaun RM1,000 dikeluarkan tanpa kompromi atas pelbagai kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka dan tiada penjarakan fizikal yang mana mereka berkumpul dalam jumlah yang ramai.

"Bagi saman melanggar undang-undang jalan raya pula membabitkan kesalahan tidak memakai topi keledar, tiada lesen, lesen kenderaan motor tamat tempoh dan nombor pendaftaran yang tidak mengikut piawaian ditetapkan.

"Sepanjang operasi dijalankan, pelbagai ragam yang terpaksa dihadapi termasuk berhadapan dengan individu yang tidak berpuas hati dikenakan kompaun, namun ia tidak menjadi alasan untuk pihak kami menjalankan tugas," katanya ketika ditemui selepas operasi terbabit, malam tadi.

ANTARA individu yang diperiksa di dalam operasi berkenaan. FOTO Syaherah Mustafa.
ANTARA individu yang diperiksa di dalam operasi berkenaan. FOTO Syaherah Mustafa.

Mohd Sany berkata, masyarakat sepatutnya sedar akan kepentingan SOP bagi mengekang penularan Covid-19.

"Pihak kami sendiri sudah beberapa kali memberi amaran di beberapa kawasan tumpuan orang ramai, supaya mereka mematuhi SOP dan berada di rumah dan tidak bermain air bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Hasil operasi ini juga, kita mendapati pengunjung yang datang memenuhi kawasan berkenaan bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga dari jajahan lain seperti Tanah Merah dan Kota Bharu malah, ada juga yang ditemui dari zon merah," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 9:46 AM