Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Tindakan dua remaja berusia 15 tahun menunggang motosikal tanpa lesen sejauh kira-kira 25 kilometer untuk melihat banjir membawa padah apabila mereka ditahan anggota polis dalam Operasi Banjir di Banggol Kulim, di sini, semalam.

Kedua-dua remaja yang berasal dari Felda Kemahang, Tanah Merah, itu mengakui hanya menurut ajakan rakan tanpa berfikir panjang selain menggunakan alasan melalui 'jalan kampung' untuk ke Rantau Panjang.

Mereka ditahan selepas dikepung anggota Balai Polis Rantau Panjang kerana mengharungi air menggunakan motosikal selain tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Seorang daripada mereka yang mahu dikenali sebagai Ashraf berkata, dia terkejut dengan kehadiran polis dan bertindak meninggalkan motosikal untuk menyorok, namun keluar menyerahkan diri selepas motosikal diangkut polis.

"Sebaik melihat kedatangan polis, saya ketakutan kerana sedar melakukan kesalahan bermain air selain menunggang motosikal tanpa lesen, tambahan pula kad pengenalan diri juga tidak dibawa.

"Saya menyesal atas apa yang saya lakukan dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Apa yang berlaku dijadikan pengajaran buat saya pada masa hadapan.

"Tak sangka, rancangan yang hanya untuk berseronok akhirnya disudahi dengan membawa pulang saman," katanya ketika ditemui selepas ditahan anggota polis ketika sedang bermain air di Banggol Kulim, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, kumpulan remaja terbabit turut diberikan amaran agar tidak mengulanginya lagi.

ANTARA remaja yang ditahan polis ketika operasi di Banggol Kulim, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa
ANTARA remaja yang ditahan polis ketika operasi di Banggol Kulim, di sini, semalam. FOTO Syaherah Mustafa

"Selain masih di bawah umur, tindakan mereka datang sejauh ini hanya untuk bermain air juga adalah merbahaya kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku, malah difahamkan ibu bapa juga tidak diberitahu untuk ke sini.

"Tindakan saman trafik dan pematuhan SOP diharap dapat memberi pengajaran kepada mereka dan juga remaja lain supaya berfikir terlebih dulu sebelum membuat tindakan.

"Saya juga menasihati ibu bapa juga agar mengawal pergerakan anak-anak memandangkan kita bukan saja berdepan dengan fenomena banjir tetapi juga penularan wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 January 2021 @ 12:10 PM